Tuesday 2 June 2015

Norah posmen wanita tunggal

BERUNIFORM biru berbelang merah dan putih, memakai topi keledar dan menaiki motosikal untuk menghantar surat serta bungkusan dari rumah ke rumah.

Sekali pandang saja kita sudah tahu, itulah penghantar surat atau lebih dikenali dengan posmen. Sering kali mereka datang menyampaikan amanah kepada kita.
Tidak kiralah apa kandungan surat mahupun bungkusan itu, panas terik atau hujan, mereka akan sedaya upaya menghantar barang berkenaan kepada pemiliknya.
Namun, yang biasa dilihat melakukan kerja itu adalah lelaki. Pernahkah kita melihat atau mendengar kewujudan penghantar surat wanita atau posnita? Golongan ini hakikatnya wujud, tetapi bilangan mereka tidak ramai. Malah, ia boleh dikatakan sudah tidak ada lagi ketika ini. Jom kita menjejak wanita yang
pernah melakukan kerja ini dan apakah yang mendorong mereka memecah monopoli lelaki itu.
NORAH mengasingkan surat mengikut alamatnya sebelum keluar menghantar surat. 
  
Norah Bachok, 43, menjadi satu-satunya wanita bekerja sebagai posnita di Johor Bahru, satu ketika dulu. Empat belas tahun melaksanakan tanggungjawab itu, Norah dikenali ramai dan disenangi pelanggannya.
Norah berkata, minat yang mendalam terhadap motosikal mendorongnya untuk bekerja sebagai posnita. Keputusannya itu mengejutkan, bukan sahaja buat keluarga, malah kenalannya. Pelanggan yang menerima surat turut tidak menyangka ada wanita yang bekerja sebagai penghantar surat.
"Dari dulu sehingga kini, memang tiada wanita lain yang bekerja sebagai posnita di sini (Johor Bahru). Tidak dinafikan, pada mulanya ramai yang tidak yakin saya akan bekerja lama dalam bidang ini. Alasan mereka, saya wanita dan mungkin susah untuk sesuaikan diri menjadi posnita, lebih-lebih terpaksa berdepan dengan faktor cuaca yang tidak menentu.
"Saya buktikan kepada mereka, saya bukan mahu kerja untuk sehari dua. Saya minat kerja hantar surat ini, Bukan saja minat, malah saya rasa selsa dan suka dengan pekerjaan saya ini. Saya gembira berkhidmat dengan Pos Malaysia, banyak peluang kenaikan di samping mempelajari benda baharu," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
MINAT yang mendalam terhadap motosikal mendorong Norah untuk bekerja sebagai posnita.  

Norah yang mula menghantar serahan surat di kawasan Bandar Baru Uda, Kempas dan Taman Perling memulakan kerjaya itu seawal usia 23 tahun. Ceritanya, reaksi yang diterima pelanggan, menyeronokkan dirinya.
"Saya seronok lihat reaksi pelanggan, antara komen mereka 'Eh kali pertama tengok posmen perempuan'. Kelainan itu juga membuatkan mereka lebih mudah mesra dengan saya. Kadang kala, kalau saya bekerja pada waktu panas terik, mereka menjemput saya masuk ke rumah dan menghidangkan minuman sebelum saya meneruskan kerja kembali," katanya yang kini menjadi penyelia di pejabat pos pusat mel Larkin, Johor Bahru.
Berpanas hujan dan dikejar anjing, menjadi asam garam dalam kerjayanya, namun Norah tidak menjadikan perkara itu sebagai halangan.
NORAH memulakan kerja dengan mengumpul surat-surat yang perlu dihantar.  


Kata Norah, tiada masalah untuk wanita menceburi bidang itu, tetapi mereka perlu bersedia dari aspek fizikal dan mental.
Mana-mana kerja juga ada risiko dan ia tidak harus dijadikan alasan untuk tidak meneruskan minat serta menjalankan tugas dengan baik. Diganggu ketika bertugas juga, kata Norah, pernah dialaminya tetapi ia menjadikan beliau lebih tekad untuk membuktikan kecekapan dan keupayaan.
Di sebalik semua rintangan itu, beliau mengakui, tugas sebagai posnita meninggalkan kenangan manis buatnya.
"Walaupun saya kini tidak lagi menghantar surat, pelanggan masih mengingati saya. Selalu juga mereka menghantar buah limau dan pau kepada saya," katanya. 
Penerima anugerah posmen terbaik tahun lalu, Mohd Jabarul Hisham, 38, berkata wanita yang berminat dalam kerjaya sebagai penghantar surat adalah wanita yang kental.
Katanya, bukan calang-calang wanita yang sanggup berdepan risiko dan cabaran yang menanti posmen atau posnita.
Mohd Jabarul, yang sudah 19 tahun menceburi kerjaya itu berkata, faktor keselamatan menjadi perkara yang perlu dipertimbangkan oleh mereka kerana kawasan serahan yang ditempatkan itu dikhuatiri berbahaya.
"Kami tidak merendahkan kemampuan wanita, namun ada kalanya kita perlu fikir keselamatan mereka. Bagi saya, kawasan yang paling berbahaya apabila perlu menghantar surat di flet atau apartment. Ini kerana kawasan peti surat mereka gelap dan sunyi. Kami bimbang wanita yang melakukan tugas ini akan diganggu," katanya.
Mohd Jabarul berkata, kerjaya itu mendedahkan pekerjanya kepada faktor cuaca yang tidak menentu, selain diserang oleh anjing liar.
"Pekerjaan ini mungkin dianggap mudah bagi sesetengah pihak, namun cabaran yang perlu ditempuh itu penuh berliku. Setiap hari beg surat yang dibawa hampir 30 kilogram dinaikkan ke atas motosikal. Kadang kala apabila hujan, jalan di beberapa kawasan agak licin dan boleh mengakibatkan kemalangan.
"Bukan itu saja, musuh utama kami adalah anjing. Ada kalanya kami dikejar sekumpulan anjing yang memang menggerunkan," katanya
Seorang lagi posmen, Adam Ali, berkongsi senario paling buruk ketika menjalankan tugas adalah apabila beliau dirompak.
"Ketika itu, saya dipanggil oleh sekumpulan lelaki, saya sangkakan mereka mahu bertanyakan mengenai surat atau perkara lain. Tanpa saya sedar, mereka mengepung saya dan mengacukan pisau. Saya dipaksa menyerahkan semua barang berharga, termasuk dompet. Nasib saya baik, mereka hanya merompak tanpa mencederakan saya," katanya yang juga pernah mengalami kemalangan ketika bertugas.

No comments:

Post a Comment