Monday 15 June 2015

CEO jadi penternak kambing

SELAMAT Datang ke Ladang BoDen! Sejurus memasuki ladang bersaiz kira-kira 40 hektar di Kampung Serting Ilir, Jempol, Negeri Sembilan timbul pertanyaan kerana tidak terlihat langsung kambing dan kandang haiwan ternakan itu.

Bagaimanapun, selepas memasuki lebih ke dalam ladang itu, ternyata penulis terkagum dan terpukau dengan apa yang ada di Ladang BoDen itu.
KAMBING yang sudah ditempah pelanggan diletakkan tanda di telinga.  

Tarikan utama pastinya kepada kira-kira 1,000 ekor kambing spesies Boer yang diternak di situ. Apa yang menarik bukan saiz kambing yang membesar di situ.
Paling menarik pastinya ialah bagaimana Ladang BoDen diurus bagi mendapatkan pengeluaran ternakan baka bermutu untuk pasaran.
Bagi pemilik ladang, Zainal Abdul Ghani yang dibantu isterinya, Fatimah Abdullah, penerokaan mereka dalam sektor penternakan kambing Boer adalah umpama memberi landskap baharu terhadap kehidupan.
Bagi pasangan itu juga, penerokaan berkenaan adalah sesuatu yang memberikan mereka tidur yang nyenyak pada setiap malam dan lebih daripada itu mengetepikan segala macam tekanan kehidupan di bandar raya.
KAMBING di Ladang Boden diberi dedak selain rumput. 


Ternyata pasangan bahagian ini mempunyai dua suasana kehidupan yang terbaik untuk diharungi setiap hari iaitu kehidupan di bandar dan di kawasan kampung.
Zainal dan Fatimah amat bertuah kerana mereka mendapat "syurga" yang mungkin tidak pernah terfikir sebelum ini.
Zainal berkata, ketika beliau mencecah usia 56 tahun dan isterinya, 54, mereka memikirkan apa minat terbaharu untuk diusahakan selepas bersara.
"Banyak bidang yang berlegar di fikiran, akhirnya kami pilih untuk usahakan ternakan kambing. Ini kerana daging kambing mempunyai permintaan tinggi pada masa depan dan pembangunan ladang tidak memerlukan kawasan tanah yang luas.
IBU kambing betina ditempatkan bersama anaknya bagi memudahkan proses penyusuan. 


"Kami ingin membangunkan satu modul ternakan kambing iaitu cara terbaik dan mudah bagi meningkatkan pengeluaran dan hasil. Kami juga berhasrat hendak bantu orang kampung bangunkan usaha menternak kambing bagi membolehkan mereka meningkatkan pendapatan," katanya  baru-baru ini.
Zainal berkata, antara syarat untuk mendapatkan pendapatan lumayan dalam sektor ternakan kambing ialah meningkatkan pengetahuan dalam bidang itu.
Katanya, seorang penternak yang mempunyai pengetahuan yang terlalu minimum tidak berupaya untuk bertahan dalam sektor berkenaan.
FATIMAH berbincang dengan pekerjanya.  


"Sebab itulah, saya dan isteri buat kajian berkaitan cara menternak terbaik. Kami pergi ke Australia Barat dan mendapat sokongan baik daripada pengusaha di sana dan kami pergi ke Afrika Selatan berjumpa pakar dan mereka memberi maklumat lengkap dan terbaik mengenai bagaimana untuk mendapatkan produktiviti yang tinggi.
Meneruskan perbualan, Zainal diminta mengulas apakah rahsia pengurusan dan penjagaan terbaik yang dipraktikkan di Ladang BoDen.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif itu berkata, pengurusan ladang perlu memberi penekanan kepada persoalan kenapa, bagaimana dan apa. Sebagai asas kita memberi perhatian khusus kepada setiap peringkat putaran penjagaan kambing itu di mana ianya memerlukan penjagaan dan makanan berlainan untuk memastikan ternakan sentiasa sihat dan subur.
SELAIN menternak kambing, Zainal dan Fatimah turut mengusahakan madu kelulut.  


"Putaran bermula dari anak kambing dilahirkan dan membesar dan sampai bercerai susu. Begitulah seterusnya apabila baka kambing itu sudah dewasa dan kemudiannya bunting dan beranak, kita ceraikan susu dan balik proses yang sama.
"Setiap putaran kena beri perhatian berat. Ini Prosedur Standard Operasi (SOP) di mana semua pekerja dilatih berdasarkan SOP dengan fokus kepada kenapa membuat sesuatu dan bagaimana nak buat sesuatu tugas," katanya.
Menyentuh mengenai operasi ladang, beliau berkata, kandang yang terdapat di Ladang BoDen direka bagi menepati SOP yang ditetapkan.
"Kita mengamalkan kod bagi setiap kandang. Kandang A (merujuk kepada masuk); kandang B (bunting); kandang M (beranak); kandang C (cerai susu) dan kandang D (agihan)," katanya.
Selain, katanya, pekerja yang mahir juga penting kerana mereka perlu tahu apa yang dibuat dan kenapa.
"Kami dapati bahawa kalau misalnya nak jaga kambing bagi sihat, pekerja pun kena mesti sihat juga. Kami ada slogan di ladang ini iaitu 'Happy goat, Healthy goat'
"Jika kambing sakit kami gunakan sistem kod. Jenis penyakit berbeza, kod warna berlainan digunakan.
"Sebagai contoh, jika kambing itu ada satu calit, maknanya tak kritikal tapi telah di rawat. Kalau ada tiga calit bermakna penyakit kambing itu perlu diambil berat," katanya.
Ini memudahkan kami untuk mendapat gambaran menyeluruh terhadap prestasi ladang dan tindakan susulan yang perlu di ambil.
Selain itu, BoDen bertuah kerana mempunyai pekerja yang berasa bangga dengan peranan dan tugas yang diberikan kepada mereka.
Mereka begitu komited termasuk dalam aspek kebersihan di ladang. "Mereka sendiri rasa tidak seronok bekerja kalau kawasan kotor dan mereka datang awal untuk membersihkan kawasan sekitar," katanya.
Malah, pengurusan ladang BoDen turut mengadakan mesyuarat setiap minggu dengan pekerja bagi mendapatkan perkembangan di kandang di bawah jagaan masing-masing.
"Pekerja akan maklumkan jika ada kambing yang sakit, kematian dan sebagainya. Pekerja juga perlu mencatat cuaca harian seperti suhu dan hujan.
"Cuaca penting kerana misalnya ada hujan berturut-turut selama lima hari. Kalau panas misalnya, kambing rasa tertekan," katanya.
Sementara itu, ladang BoDen turut menjalankan perusahaan sampingan iaitu madu kelulut dan tanaman sayuran berkhasiat tinggi.

1 comment:

  1. Salam,
    Tuan,
    Bolehkah saya datang untuk melawat dan belajar sedikit ilmu ternakan kambing?

    ReplyDelete