Sunday 31 May 2015

Kacang kelor buang alga, jernihkan air kolam hiasan


Akuarium kotor dengan alga mecacatkan pemandangan ruang tamu.


Kehadiran alga dalam kolam hiasan yang menyebabkan air bertukar menjadi hijau mencetuskan idea kepada tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) LKTP Pemanis, Segamat, Johor, untuk menghasilkan produk rawatan air berasaskan kacang kelor atau nama saintifiknya Moringa 0leifera.

Kacang kelor atau remunggai.
Produk dikenali sebagai 'Moringa Water Cleaner' itu hasil inovasi Mohamad Arif Mail, Nurul Asyikin Basri dan Nurul Azani Shypul Azmi, memiliki ciri bebas bahan kimia dan mampu bertindak balas secara semula jadi tanpa menjejaskan hidupan lain yang terdapat dalam kolam hiasan.
Ketua kumpulan, Mohamad Arif, berkata kajian dijalankan mendapati produk 'Moringa Water Cleaner' itu berjaya memendapkan alga yang terdapat di dalam kolam dalam tempoh paling awal iaitu 24 jam bergantung kepada saiz dan jumlah isi padu air yang terdapat di dalam kolam sekali gus menjadikan air lebih jernih.
"Terdapat tiga produk 'Moringa Water Cleaner' berjaya dihasilkan iaitu dalam bentuk kapsul, cecair dan bebola tanah lumpur.
"Bagi kapsul dan bebola tanah lumpur, pengguna hanya perlu memasukkan dua biji saja untuk setiap lima liter air kolam, manakala bagi produk jenis cecair pula, mereka perlu menggunakan 10 mililiter untuk untuk lima liter air.
"Bagi memastikan alga yang mendap itu ditapis dan dikeluarkan, kami turut mereka cipta tiga jenis penapis untuk kegunaan kolam hiasan, isi rumah dan pengembara atau penggemar aktiviti luar," katanya ketika ditemui pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) Ke-26, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.
MOHAMAD Arif (kanan), Nurul Azani (tengah) dan Nurul Asyikin dari SMK LKTP Pemanis Johor menunjukkan produk 'Moringa Water Cleaner' yang dihasilkan mereka pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) Ke-26, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Nurul Asyikin pula berkata, pasukannya menjalankan penyelidikan berkaitan kegunaan kacang kelor dan ternyata ia memang digunakan di negara yang tidak mempunyai sumber air bersih.
"Kami memilih untuk mengetengahkan penyelidikan menggunakan kacang kelor ini kerana ia tidak memberikan kesan sampingan kepada hidupan lain yang terdapat dalam kolam hiasan dan proses yang digunakan untuk menghasilkan 'Moringa Water Cleaner' juga tidak membabitkan bahan kimia kerana ia hanya perlu dikisar sehingga menjadi serbuk.
"Bagaimanapun, bagi pengguna yang bercadang menggunakan produk ini untuk membersihkan air minuman, kami sarankan supaya mereka memasak air berkenaan terlebih dulu supaya lebih bersih dan selamat untuk diminum," katanya.
Beliau berkata, produk berkenaan memberikan banyak kelebihan kepada peminat kolam hiasan kerana ia mengurangkan pembiakan alga dalam air sekali gus boleh menjimatkan kos, masa dan tenaga untuk membersihkan kolam masing-masing.
"Produk ini juga boleh membantu penduduk yang sukar untuk mendapatkan air bersih dengan cara yang lebih murah serta memberi peluang kepada penggemar aktiviti luar mendapatkan sumber air bersih dengan lebih mudah," katanya.
Kajian dijalankan pelajar SMK LKTP Pemanis itu berjaya merangkul beberapa kejayaan antaranya naib johan Pertandingan Inovasi Sekolah Menengah sempena Program Kreativiti dan Science4U 2015 Zon Selatan, Anugerah Khas daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan naib johan Pertandingan Reka Cipta Minggu Alam Sekitar Peringkat Negeri Johor 2014.

No comments:

Post a Comment